Kamis, 27 September 2012

Bersangka Baik Sesama Da’ie



Sebuah cerita pengajaran indah dari buku At-Thoriq ilal Qulub (Bagaimana Menyentuh Hati) nukilan Syeikh dakwah Abbas as-Sisy:


Dia adalah sebaik-baik teman, paling aktif ke masjid dan sangat menyintai teman-temannya. Tiba-tiba, lama sekali tidak nampak batang hidungnya di tengah-tengah mereka. Ketika kemudian dia dapat berkumpul kembali, tiba-tiba seorang teman datang mengasak pelbagai pertanyaan dan sindirin kepadanya. Dengan nada sedih dia katakan kepada temannya, “Kenapa baru sekarang kamu mahu menjengokku? Ke mana saja kamu dan teman-teman selama ini? Mengapa tidak berusaha mencariku selama beberapa bulan terakhir ini. Sebenarnya aku sangat memerlukan kehadiran kalian di sampingku pada saat isteriku meninggal dunia, dan meninggalkan anak-anak yang masih kecil. Aku memerlukan orang-orang yang akrab denganku pada saat kritikal seperti itu!”
Hal ini menjadi pelajaran berharga bagi ikhwan yang masih belum memenuhi kewajipan kepada ikhwannya yang lain dalam hal memantau keadaannya. Hal ini merupakan kewajipan paling minimum kerana Rasulullah telah bersabda, “Apabila dia tiada, maka carilah!”

Ini sekadar contoh. Seseorang yang lama tidak muncul dan tidak diketahui sebabnya, tidak akan jelas alasannya kecuali setelah menanyakannya.
Satu contoh lagi, suatu kelompok ikhwan hidup bersama-sama dalam keadaan yang serba kekurangan. Tiba-tiba, (telah menjadi sunnatullah bahawa manusia pasti akan saling berpisah) kerana tuntutan hidup, studi atau pekerjaan, kebersamaan itu akhirnya terhenti juga. Ternyata ada yang menganggap temannya ini sudah mulai mengambil jarak (menjauhkan diri), atau pergi kerana takut, atau kerana ukhuwwah telah mulai lemah, dan sebagainya. Sehingga timbullah bermacam-macam dugaan. Padahal kita dilarang melakukan hal tersebut. ALLAH berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sebahagian kalian mengumpat sebahagian yang lain. (surah al-Hujurat; 49:12)

Kemudian dia menghilang dari ingatan teman-temannya kerana mereka tidak memerhatikan haknya.
Setelah lama berselang masa, dan banyak peristiwa penting telah terjadi, sebagaimana biasanya dalam perjalanan dakwah, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan munculnya teman lama mereka yang sudah sekian waktu menghilang. Kini dia berada di tengah-tengah mereka.
Dia mengorbankan jiwa dan hartanya dengan penuh ketulusan dan keberanian yang mengagumkan, bahkan membuat malu sebahagian yang belum memahami hakikat dakwah. Seseorang yang sudah merasakan nikmatnya dakwah, dakwah sudah menyatu dalam hati, perasaan dan fikirannya, maka dia akan menganggap murah semua yang ada padanya. Dakwah lebih mahal berbanding semua yang dimiliki.
Seorang da’ie harus sentiasa husnu zhon, tidak merendahkan yang lain, atau merasakan dirinya lebih baik daripada yang lain dalam barisan dakwah. Bahkan seorang da’ie pada saat tertentu ada di hadapan, dan pada saat yang lain ada di barisan belakang.
Setiap orang yang pernah tersentuh roh dakwah nescaya akan tetap hidup bersama-sama dakwah sehingga menemui ALLAH. Kerana itu seorang da’ie harus sentiasa husnu zhon kepada sesama saudaranya dan menutup aibnya, sampai dia sedar dan kembali ke jalan yang benar. Sehingga ketika seorang da’ie kembali kepada teman-temannya, dia tetap menemui suasana saling menyintai.

Tidak ada komentar: